SELANGOR FC
BERITA

Reviu Perlawanan LS19 | Penang FC 1-1 Selangor FC | Skuad #GergasiMerah Dan Harimau Kumbang Berkongsi Mata

Jan 26, 2025 - FAS

Selangor FC membawa pulang satu mata dari Stadium Bandaraya Pulau Pinang selepas terikat 1-1 menentang Penang FC dalam aksi Liga Super 2024/25 ke-19 semalam.

Ronnie Fernandez terdahulu meletakkan Selangor FC di hadapan dengan jaringannya pada minit ke-10 perlawanan selepas menerima hantaran daripada Quentin Cheng. Saling berbalas serangan, Haiqal Lau  membuat beberapa percubaan daripada luar kotak penalti sebelum beliau cedera dan dikeluarkan pada minit ke-41 dan digantikan dengan Fazly Mazlan. 

Separuh masa kedua bermula dengan dua pertukaran; Mukhairi Ajmal dan Sharul Nazeem digantikan dengan Alexander Agyarkwa dan Harith Haiqal bagi menambah kekuatan di bahagian tengah serta pertahanan. Tidak lama kemudian, Harith Haiqal berjaya mengeluarkan bola daripada percubaan bahaya Adib Ra’op di sebelah kiri gawang Merah Kuning. 

Perlawanan lanjut sehingga ke minit 96 dimana Penang FC hampir menjaringkan gol namun Fazly Mazlan berjaya melemparkan badannya bagi menidakkan bola daripada masuk. Namun, pada minit ke-100, Penang FC dihadiahkan sepakan penalti selepas Safuwan Baharudin cuba untuk mengeluarkan bola, tetapi hayunan kaki beliau terkena kaki Alif Ikmalrizal, dilihat sebagai ‘foul’, kemudian Rafel Victor sempurnakan penalti tersebut. Nasib tidak menyebelahi pasukan, perlawanan berakhir dengan keputusan 1-1.

Menurut Ketua Jurulatih Selangor FC, Katsuhito Kinoshi, pasukan tidak berpuas hati dengan keputusan seri.

“Pasukan tidak berpuas hati dengan keputusan satu mata semalam, dan kita perlu belajar daripada perlawanan seri ini. Sasaran pasukan adalah sentiasa berusaha  mendapatkan tiga mata, dan pemain  sepatutnya cepat menyesuaikan diri dengan cuaca semalam, terutamanya pada separuh masa kedua. Walau bagaimanapun, kita akan fokus pada perlawanan seterusnya dan berusaha untuk dapatkan keputusan yang baik untuk para penyokong, bagi membalas  sokongan yang mereka berikan,” tegas Kinoshi

Setakat ini, Selangor FC kekal di tangga kedua dalam saingan Liga Super 2024/25 dengan 39 mata daripada 12 kemenangan, tiga seri dan tiga kalah. Selain itu, 31 jaringan gol telah terhasil daripada 18 aksi yang telah berlangsung. 

Seterusnya, pasukan akan menentang Penang FC sekali lagi, namun kali ini di Stadium MBPJ, Kelana Jaya, bagi perlawanan kedua Separuh Akhir Challenge Cup 2024/25

 pada 2 Februari jam 9 malam. Dapatkan tiket anda di sini.

Pihak Pengurusan ingin mengucapkan terima kasih kepada para penyokong yang telah hadir ke perlawanan semalam bagi memberi sokongan kepada pasukan. Jumpa anda di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada minggu hadapan.

Demi Kebanggaan!